Assalamulaikum w.b.t.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Syukur ke hadrat Allah, iaitu Penguasa Alam Semesta, di atas segala kurniaNya.
Saya memohon kerestuan dan izinnya semoga kita semua dicurahkan rahmat dan keberkatan sepenuhnya.
Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk berdoa kepada Allah yang Maha Esa supaya kita semua sentiasa diberkati dengan kebijaksanaan dan komitmen serta kekuatan fizikal, mental dan moral bagi membolehkan kita menyempurnakan segala tanggungjawab dan kerja yang diamanahkan dengan kecemerlangan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini, mengalu-alukan kedatangan beberapa pegawai baru ke JBA. Sesungguhnya, kedatangan pegawai-pegawai baru ini akan banyak membantu kita di tengah-tengah kesibukan kita memasuki era baru dengan penstrukturan semula industri air. Dalam masa yang sama kita sedang rancak melaksanakan program-program core business kita. Saya menyeru kepada semua warga JBA agar memberikan kerjasama untuk menjayakan semua program yang telah dirancang dan adalah diharapkan semua kakitangan akan dapat meneruskan khidmat cemerlang yang telah ditunjukkan sebelum ini.
Sesungguhnya, peluang yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan amanat ini amat besar ertinya bagi saya untuk membolehkan saya memberikan penerangan kepada semua warga JBA terhadap peranan yang perlu dimainkan oleh setiap anggota JBA. Ini bagi menjayakan semua program yang dirancangkan dan untuk memastikan bahawa peranan kita masih lagi relavan di dalam sektor bekalan air yang sentiasa berkembang.

