Soalan Lazim

Apakah fungsi empangan dalam pembekalan air terawat kepada pengguna?

Empangan berfungsi untuk menakung air mentah dan melepaskannya ke dalam sungai apabila paras air di dalam sungai tidak mencukupi untuk membekalkan air mentah kepada loji-loji rawatan air serta untuk kegunaan lain seperti pertanian.

Bagaimanakah air terawat dibekalkan kepada pengguna? Apakah proses yang terlibat dalam menyalurkan air terawat kepada pengguna?

  • Proses pembekalan air terawat kepada pengguna bermula dengan pengambilan air mentah dari sungai atau sumber-sumber air mentah yang lain untuk dirawat di loji-loji rawatan air. Di negeri Selangor, semua loji rawatan air mendapat sumber air mentah dari sungai.
  • Selepas melalui proses rawatan di loji-loji rawatan air bagi memastikan air yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat untuk diminum serta mematuhi Piawaian Air Minum Kebangsaaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, air yang telah dirawat akan disalurkan melalui sistem pengagihan yang terdiri daripada tangki imbangan, paip utama, tangki perkhidmatan dan paip agihan sebelum sampai kepada premis-premis pengguna.

Adakah ini bermakna bahawa sekiranya empangan berada pada paras yang penuh, air mentah adalah mencukupi untuk dibekalkan kepada loji-loji rawatan air?

Sekiranya empangan berada pada paras yang penuh, empangan berupaya untuk meningkatkan kapasiti air mentah di dalam sungai untuk membolehkan air tersebut digunakan oleh loji-loji rawatan air.

Jadi, kenapakah negeri Selangor perlu mendapatkan bekalan air mentah dari negeri Pahang?

Pembangunan serta pertambahan penduduk yang pesat di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyebabkan permintaan terhadap air terawat semakin meningkat dengan kadar yang cepat. Bagi memenuhi permintaan ini, perancangan jangka panjang perlu dibuat bagi memastikan bekalan air yang mencukupi bagi memenuhi permintaan. Negeri Selangor hanya mempunyai 5 buah sungai utama yang dapat membekalkan air kepada sebahagian besar penduduk di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Berdasarkan kajian sumber air yang dilaksanakan oleh Kerajaan, sungai-sungai tersebut tidak dapat menampung permintaan pada masa hadapan. Oleh itu, perancangan jangka panjang perlu dibuat untuk memastikan penduduk di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat bekalan air yang mencukupi kerana pembangunan infrastruktur bekalan air seperti pembinaan loji serta sistem pengagihan memerlukan tempoh yang panjang untuk disiapkan.

Tidakkah empangan-empangan di negeri Selangor dapat memastikan sungai-sungai membekalkan air mentah yang mencukupi kepada loji-loji rawatan air?

Negeri Selangor mempunyai 7 buah empangan yang dibina bagi memastikan 5 sungai utama di negeri Selangor mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk membekalkan sumber air mentah kepada loji-loji rawatan air di Selangor. Daripada 5 sungai utama yang ada di negeri Selangor ini, Sungai Selangor membekalkan hampir 60% daripada sumber air mentah yang diperlukan bagi memenuhi permintaan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sekiranya kita meneruskan kebergantungan kepada sungai ini, dikhuatiri apabila berlaku insiden-insiden di luar jangkaan seperti pencemaran air yang teruk serta musim kemarau yang berterusan yang menyebabkan paras empangan berada pada tahap yang rendah seperti mana yang sedang berlaku sekarang, bekalan air kepada sebilangan besar pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terjejas. Malah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah melaporkan bahawa paras simpanan air di Empangan Sungai Selangor kini berada pada tahap 56 peratus sahaja. Jika paras empangan ini terus menurun, ia dikhuatiri akan menjejaskan bekalan air mentah ke loji-loji rawatan air di sepanjang Sungai Selangor.

Kenapakah catuan air perlu diadakan di negeri Selangor dan Kuala Lumpur?

Bagi memastikan bekalan air yang berterusan kepada pengguna, kita memerlukan sumber air mentah yang mencukupi serta keupayaan loji yang cukup untuk merawat air.

Walau pun keupayaan loji untuk merawat air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya agak terhad dengan rizab margin kini berada pada tahap kurang daripada 2%, namun catuan air yang berlaku pada masa ini adalah berpunca daripada kurangnya sumber air mentah.

Disebabkan cuaca yang panas dan kering diikuti dengan hujan yang kurang sejak Januari 2014, paras sungai-sungai dan empangan-empangan telah menyusut. Fenomena ini terbukti apabila rekod di empangan-empangan menunjukkan jumlah hujan yang rendah berbanding dengan bulan-bulan yang sama tahun-tahun yang lepas. Ketujuh-tujuh empangan bekalan air yang menyimpan air mentah bagi keperluan air terawat di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menyusut ke tahap yang rendah. Empangan Sg. Selangor merupakan empangan terbesar di negeri Selangor di Lembangan Sungai Selangor. Di dalam lembangan yang sama, Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi membekalkan sumber air mentah bagi memenuhi 61% daripada permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
catuan1
Pada awal bulan April 2014, Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi mempunyai peratus simpanan terendah masing-masing pada 36.39% dan 60.97%. Begitu juga dengan lain-lain empangan iaitu Empangan Sg. Langat 48.25%, Empangan Klang Gates 50.04%, Empangan Sg. Semenyih 70.80%, Empangan Sg. Batu 77.06% dan Empangan Tasik Subang 86.77%.
Berbanding pada masa yang sama pada tahun-tahun yang lepas, semua empangan mempunyai simpanan 100% atau hampir.

Disebabkan paras empangan yang rendah, Kerajaan Negeri Selangor, selaku pihak yang bertanggung jawab dalam mengawal sumber air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya telah mengambil keputusan untuk mengurangkan pelepasan daripada Empangan Sg. Selangor dan Empangan Klang Gates. Apabila pelepasan dikurangkan, maka pengeluaran loji-loji rawatan air akan turut terjejas. Oleh yang demikian, catuan air perlu dilaksanakan bagi memastikan pengguna-pengguna mendapat bekalan air secara adil dan saksama.

Langkah mengurangkan pelepasan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah perlu untuk mengelakkan empangan daripada kering. Sekira empangan menjadi kering, kesannya akan menjadi lebih serius lagi dan gangguan bekalan air lebih berskala besar.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia telah menjangkakan cuaca akan kembali panas daripada bulan Jun sehingga September tahun ini. Oleh yang demikian, simpanan di empangan perlu diguna dengan berhemah dan berhati-hati untuk bertahan sehingga bulan Oktober apabila musim hujan tiba.
catuan2
 

Selain daripada negeri Selangor, adakah negeri yang lain turut dicatu?

Cuaca yang panas dan kering bukan sahaja melanda negeri Selangor dan Kuala Lumpur tetapi juga negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Akibat paras sungai dan empangan yang menyusut, beberapa daerah di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Perak turut melaksanakan catuan air disebabkan oleh ketidakcukupan sumber air. Malah kawasan Taiping, Perak yang mempunyai kadar hujan yang tertinggi turut melaksanakan catuan apabila sungai yang membekalkan sumber air terjejas akibat cuaca yang panas.
Walau bagaimanapun, jumlah penduduk yang terlibat dengan catuan di lain-lain negeri tidak lah seramai seperti di negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

Kawasan manakah yang terlibat dengan catuan?

Di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, hanya kawasan-kawasan yang dibekalkan oleh loji-loji rawatan air (LRA) tertentu sahaja yang terlibat dengan catuan. Loji-loji rawatan air yang dimaksudkan ialah LRA Sungai Selangor Phase 1 (SSP1), LRA SSP2, LRA SSP3, LRA Rasa, LRA Rantau Panjang dan LRA Semenyih. Selain itu kawasan-kawasan yang dibekalkan daripada LRA Wangsa Maju dan LRA Bukit Nanas juga terlibat. Loji-loji ini terpaksa dikurangkan pengeluarannya berikutan dengan pengurangan pelepasan daripada Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates.
Di bawah Peringkat Pertama Catuan, kawasan-kawasan yang dibekalkan daripada LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi turut dicatu akibat penutupan loji-loji tersebut disebabkan pencemaran ammonia di sungai.
Kawasan-kawasan yang dibekalkan daripada lain-lain loji selain daripada loji yang dinyatakan di atas tidak terlibat dengan catuan.

Bagaimanakah catuan ini dilaksanakan?

Di bawah Peringkat Ketiga dan Keempat Catuan, setiap wilayah iaitu Wilayah Gombak, Petaling, Klang / Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang dibahagikan kepada empat zon di mana setiap zon menerima bekalan air selama 2 hari dan diikuti dengan catuan selama 2 hari. Dalam melaksanakan catuan, SYABAS selaku operator yang bertanggung jawab dalam mengagihkan bekalan air akan menutup bekalan air ke zon-zon yang telah dikenalpasti pada hari-hari yang ditetapkan seperti jadual catuan di injap paip keluar dari kolam-kolam bekalan pada jam 9.00 pagi. Injap yang sama akan dibuka semula pada jam yang sama dua hari kemudian. Prosedur yang sama dijalankan bagi lain-lain zon bekalan dan proses ini diulangkan secara bergilir-gilir. Secara keseluruhannya, di bawah program catuan yang sedang dijalankan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan pada masa ini, sebanyak 1,187 kawasan yang terlibat yang memerlukan injap di kawasan-kawasan tersebut dibuka dan ditutup secara berterusan. Perlu dijelaskan bahawa matlamat catuan adalah untuk memastikan semua pengguna mendapat bekalan melalui paip walaupun tempoh masa bekalan tidak secara berterusan.

Kenapakah catuan tidak diadakan setiap satu hari kerana tempoh masa catuan 2 hari diikuti dengan 2 hari bekalan adalah terlalu lama?

Dalam melaksanakan catuan air, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara atau SPAN selaku badan kawal selia perkhidmatan air dan SYABAS selaku operator pengagihan sentiasa berusaha dengan sebaik-baiknya untuk mengurangkan kesulitan di pihak pengguna-pengguna. Ingin dijelaskan bahawa tidak seperti bekalan elektrik, air mengambil masa untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia mengalir mengikut haidraulik dan perlu mengisi ruang-ruang paip sebelum bergerak mengikut tekanan. Oleh yang demikian, beberapa kawasan tertentu seperti kawasan-kawasan yang terletak di tempat tinggi, kawasan yang terletak di penghujung sistem bekalan air dan kawasan yang dibekalkan air melalui sistem pam memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapat bekalan air. Disebabkan faktor-faktor sedemikian, SPAN dan SYABAS melaksanakan kaedah 2 hari bekalan dan 2 hari catuan bagi memastikan semua pengguna mendapat bekalan air melalui paip. Sekiranya bekalan dan catuan ditetapkan satu hari sahaja, adalah dikhuatiri kawasan-kawasan yang dinyatakan di atas tidak akan sempat untuk menerima bekalan air. Sememangnya tempoh masa 2 hari bekalan dan catuan adalah dirancang berdasarkan kepada pengalaman semasa krisis air pada tahun 1998 yang lalu.
catuan3

Kenapakah bekalan air tidak diperolehi mengikut jadual pengagihan seperti yang ditetapkan?

Seperti diterangkan di atas, air mengalir secara perlahan mengikut hidraulik dan perlu mengisi ruang kosong dalam paip sebelum dapat bergerak. Sistem bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur merangkumi kawasan yang sangat luas dengan jaringan paip yang panjang. Oleh yang demikian, beberapa kawasan di sesuatu zon itu khususnya kawasan tinggi dan penghujung sistem akan lewat mendapat bekalan air berbanding dengan kawasan yang dekat dengan kolam dan terletak di kawasan yang rendah. Begitu juga dengan kawasan yang memerlukan pengepaman lebih-lebih lagi pengepaman yang berperingkat (staged pumping).

Kenapa kadang kala bekalan air terputus sehingga 3 hingga 4 hari tidak seperti yang dijadualkan?

Dalam keadaan tertentu, bekalan air boleh terputus sehingga 3 hingga 4 hari melebihi 2 hari seperti yag dijadualkan. Pada kebiasaannya, gangguan yang berpanjangan ini adalah disebabkan perkara-perkara yang diluar jangkaan dan tidak disengajakan contohnya paip utama pecah atau bekalan elektrik terputus yang menyebabkan hentitugas stesen pam penggalak di kawasan berkenaan. Kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air akan mengambil masa yang panjang. Dalam kes-kes seperti ini, SYABAS akan menghantar bekalan air melalui lori-lori tangki.

Kenapa tidak semua kawasan di negeri Selangor dan Kuala Lumpur dicatu bekalan?

Di bawah Pengagihan Air Berjadual atau Catuan Peringkat Ketiga, hanya kawasan-kawasan yang mendapat bekalan daripada LRA SSP1, LRA SSP2, LRA SSP3, LRA Rasa, LRA Rantau Panjang, LRA Wangsa Maju dan LRA Bukit Nanas sahaja yang terlibat. Ketujuh-tujuh loji ini menerima sumber air mentah daripada Empangan Sg. Selangor, Empangan Sg. Tinggi dan Empangan Klang Gates.
Di bawah Peringkat Keempat pula, kawasan-kawasan yang menerima bekalan air daripada LRA Sg. Semenyih turut terlibat. Kawasan-kawasan yang dibekalkan daripada loji-loji lain selain daripada loji-loji tersebut masih mendapat bekalan seperti biasa. Walau bagaimanapun, sekiranya keadaan menjadi lebih serius berikutan paras empangan yang terus menyusut, kawasan catuan akan dikaji semula dan diperluaskan sekiranya perlu.

Kenapa catuan tidak dilaksanakan secara adil kerana kawasan perumahan tertentu dikecualikan daripada catuan?

Di bawah Pengagihan Air Berjadual atau Catuan Peringkat Ketiga, hanya kawasan-kawasan yang mendapat bekalan daripada LRA SSP1, LRA SSP2, LRA SSP3, LRA Rasa, LRA Rantau Panjang, LRA Wangsa Maju dan LRA Bukit Nanas sahaja yang terlibat. Ketujuh-tujuh loji ini menerima sumber air mentah daripada Empangan Sg. Selangor, Empangan Sg. Tinggi dan Empangan Klang Gates. Di bawah Peringkat Keempat pula, kawasan-kawasan yang menerima bekalan air daripada LRA Sg. Semenyih turut terlibat. Kawasan-kawasan yang dibekalkan daripada loji-loji lain selain daripada loji-loji tersebut masih mendapat bekalan seperti biasa. Walau bagaimanapun, sekiranya keadaan menjadi lebih serius berikutan paras empangan yang terus menyusut, kawasan catuan akan dikaji semula dan diperluaskan sekiranya perlu.

Kenapa rumah-rumah di satu kawasan perumahan dicatu bekalan manakala rumah-rumah di jalan bersebelahan di taman perumahan yang sama sentiasa menerima bekalan?

Dalam kes-kes yang tertentu, sesuatu taman perumahan mempunyai sistem bekalan air yang berbeza, contohnya sebahagian kawasan mendapat terus daripada paip utama secara graviti dan sebahagian kawasan yang lain menerima bekalan melalui sistem pam yang berperingkat-peringkat. Selain itu, berkemungkinan punca bekalan air juga adalah daripada loji rawatan air yang berlainan. Selain itu juga, di bawah program catuan air di negeri Selangor dan Kuala Lumpur beberapa premis kritikal seperti hospital, pusat dailisis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan lapangan terbang tidak dikenakan catuan. Dalam kes-kes tertentu, sistem bekalan air yang membekalkan air ke premis-premis kritikal seperti di atas tidak dapat diasingkan secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, kawasan-kawasan yang berhampiran akan turut mendapat air. Faktor-faktor serta kekangan teknikal di beberapa kawasan tertentu menyebabkan berlakunya keadaan di mana ada kawasan yang dicatu manakala kawasan yang berhampiran masih mendapat bekalan air.

Kebelakangan ini, hujan telah turun dengan lebatnya tetapi kenapa bekalan air masih dicatu?

Memang benar, hujan telah mulai turun sejak awal bulan April di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Namun begitu, kadar hujan yang turun di kawasan tadahan empangan-empangan khususnya di Empangan Sungai Selangor yang terletak di Kuala Kubu Baru adalah rendah. Mengikut rekod, jumlah hujan di Empangan Sungai Selangor pada bulan April sehingga 14 haribulan berjumlah hanya 12 mm berbanding dengan purata hujan bagi bulan April dari tahun 2005 hingga 2013 sebanyak 239 mm. Walaupun paras di semua empangan meningkat sejak awal April tetapi peningkatan paras belum mencapai ke paras biasa.

Apakah langkah yang diambil oleh pihak-pihak yang bertanggung jawab untuk menangani kemerosotan paras empangan?

Selaku pihak yang bertanggung jawab dalam hal-hal berkaitan dengan sumber air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kerajaan Negeri Selangor telah mengurangkan pelepasan daripada Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates mulai 2 Mac 2014. Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui badan kawal selia sumber air itu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia untuk menjalankan proses pembenihan awan. Usaha ini akan diteruskan pada masa-masa yang akan datang bagi meningkatkan paras empangan-empangan. Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor juga melalui LUAS sedang menjalankan kerja-kerja mengepam sumber air di kolam-kolam dan bekas-bekas lombong yang terletak di bersebelahan Sungai Selangor di Bestari Jaya bertujuan untuk meningkatkan aliran air sungai.
TOP

 aduan

Untuk membuat sebarang aduan, sila klik di sini.